TEMA 1 : MASYARAKAT

By Cikgu Azid
  1. Masyarakat feudal England dan Jepun mempunyai corak kehidupan yang unik  pada abad ke-16 dan 17. Bandingkan .

Pengenalan

Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki. Negara Jepun dan England mengamalkan sistem feudal pada abad ke 16 dan 17 . Pemerintah Jepun pada abad ke 17 berada di bawah kekuasaan Keshogunan Tokugawa. Di England pula berada di bawah pemerintahan monarki baru. Amalan sistem feudal di kedua-dua pemerintahan ini mempunyai keunikan tersendiri.

Isi-isi

Dalam susun lapis masyarakat feudal di England dan Jepun pada abad ke 17, raja mempunyai kedudukan yang tertinggi. Raja pada masa itu sangat dihormati dan merupakan lambang perpaduan. Raja juga sering dikaitkan dengan agama dan kepercayaan. . Raja England merupakan ketua gereja Kristian. Manakala Maharaja Jepun merupakan Tuhan Matahari. Malahan pada masa itu, Raja England merupakan pemerintah berkuasa mutlak. Sebaliknya Maharaja Jepun hanya memerintah dari segi teori sahaja. Ini kerana Maharaja Jepun telah menyerahkan tanggungjawab memerintah kepada Shogun sejak tahun 1192. Menjelang abad ke-  17, Shogun Tokugawa memerintah Jepun bagi pihak Maharaja. Maharaja tinggal terpencil dan terpisah di Kyoto dengan dikelilingi oleh pegawai istana.

       Kedua-dua sistem feudal ini mempunyai golongan pembesar. Golongan bangsawan di England dikenali sebagai Lord .Di negara Jepun, pembesar dikenali sebagai daimyo. Kedudukan bangsawan di England terbahagi kepada beberapa lapisan seperti bangsawan kelas pertama,  bangsawan kelas kedua dan bangsawan kelas ketiga. Pembahagian berkaitan dengan keluasan tanah yang dimiliki.

       Manakala di Negara Jepun terdapat seorang ketua  daimyo yang dikenali sebagai Shogun. Daimyo-daimyo pula dibahagi kepada 3 golongan iaitu  Daimyo Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai merupakan ahli keluarga Tokugawa dan sekutunya. Mereka membantu Tokugawa menguasai pemerintahan dan dikurniakan tanah di bahagian tengah dan utara Honshu. Daimyo Shimpan dikenali sebagai rumah bersaudara yang terdiri daripada saudara-mara keluarga Tokugawa.  Daimyo Tuzama pula dikenali sebagai daimyo luar di mana mereka merupakan musuh Shogun Tokugawa yang terdiri daripada suku-suku Barat. Mereka juga dilarang mengumpul kekayaan demi mengelakkan mereka menjadi terlalu kuat dan mengancam kedudukan Shogun. Oleh itu sistem pembesar feudal di Jepun sangat berbeza dengan sistem pembesar feudal di England.

      Di Negara Jepun, daimyo memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam bidang pentadbiran. Golongan daimyo menguasai dan mentadbir daerah-daerah yang diberikan oleh Shogun kepada mereka. Manakala kedudukan bangsawan di England mengalami kemerosotan dengan kemunculan monarki baru. Raja monarki baru mampu mengawal golongan bangsawan. Ini kerana mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada ketenteraan yang dibekalkan bangsawan  kerana raja mempunyai tentera upahan. Namun begitu Raja masih lagi memerlukan sokongan golongan bangsawan . Raja telah memberi gelaran-gelaran kepada golongan bangsawan seperti Lord , Earl dan Duke justeru k esetiaan bangsawan terhadap raja dapat dikekalkan. Di Jepun pula, Shogun telah member tanah kepada daimyo untuk mendapatkan sokongan dan kesetiaan.

         Kedua-dua sistem feudal ini mempunyai golongan ketenteraan. Di England golongan tentera dikenali sebagai Knight. Di Jepun golongan tentera dikenali sebagai Samurai. Knight dan Samurai ini berkhidmat kepada pembesar. Golongan Knight di England mempunyai hak untuk mengutip cukai daripada penduduk di bawah penguasaan mereka. Sebaliknya golongan samurai Jepun   tidak mempunyai tanah. Oleh itu, kekayaan golongan Knight diukur berdasarkan jumlah tanah yang dimiliki tetapi kekayaan golongan samurai diukur berdasarkan jumlah beras yang dimiliki. Satu lagi perbezaan antara Knight dan Samurai ialah golongan Knight di England adalah buta huruf dan hanya menawarkan perkhidmatan mereka dalam bidang ketenteraan. Sebaliknya golongan Samurai merupakan golongan yang paling berpendidikan dalam sistem feudal. Pemilikan ilmu dianggap perkara mulia dalam kalangan pahlawadi Jepun. Semasa zaman keamanan Tokugawa, samurai melibatkan diri dalam aktiviti kesenian seperti tarian Kabuki.

        Masyarakat petani merupakan golongan yang penting dalam sistem feudal di Jepun dan England. Di England golongan petani dikenali sebagai Freeman dan Villein,  manakala golongan petani Jepun dikenali sebagai nomin. Di England golongan petani tidak mempunyai tanah dan hanya mengusahakan tanah milik tuan tanah. Sebagai balasannya , tuan tanah akan memberi mereka perlindungan dan jaminan keselamatan. Sebaliknya petani di Jepun mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam kalangan rakyat jelata. Mereka memiliki tanah sendiri . Golongan petani akan membayar sewa kepada tuan tanah dengan menyerahkan sebahagian daripada hasil pertanian. Di samping itu, petani juga diperlukan untuk menawarkan khidmat buruh kepada tuan tanah. Manakala petani di Jepun terpaksa membayar cukai yang tinggi. Kebiasaannya petani Jepun menyerahkan 50% daripada hasil keluaran sebagai cukai tahunan kepada daimyo. Petani juga memberi beras kepada Samurai untuk mendapat jaminan keselamatan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, terdapat perbezaan dan pesamaan dalam system feudal yang menjadi amalan di Jepun dan England. Keduan-dua sistem feudal mempunyai keunikan masing-masing.

  1. Masyarakat  Belanda abad ke-16 dan 17 menjalankan aktiviti ekonomi  berasaskan pertanian. Bincangkan.

Pengenalan:

Masyarakat agraria merupakan masyarakat berasaskan pertanian, penternakan dan pemungutan hasil hutan serta hasil dari sungai. Kebiasaannya,  petempatan terbentuk di sekitar kawasan yang subur, misalnya di lembah-lembah sungai, kawasan berbukit serta kawasan yang mempunyai sistem saliran yang baik. Belanda telah mengalami ledakan ekonomi pada tahun 1585 selepas berjaya melepaskan cengkaman pemerintahan Raja Phillip II dari Sepanyol. Revolusi pertanian yang berlaku telah menaikkan taraf hidup masyarakat Belanda di Eropah. Belanda telah menjadi kuasa perdagangan di Eropah dan pelabuhan Amsterdam juga turut berkembang kesan daripada kemajuan ekonomi pada abad ke- 16 dan 17.

Isi-isi penting :

   Masyarakat Belanda mengusahakan pertanian berskala kecil untuk dijual di pasaran tempatan dan dipasarkan di bandar lain di Belanda. Pelbagai jenis tanaman dan sayur-sayuran ditanam ialah bawang, biji kol, ketumbar, lobak dan teasel. Biji kol menjadi tanaman yang mendapat perhatian petani-petani Belanda kerana tanaman ini menguntungkan. Biji kol diproses untuk  menghasilkan minyak dan menjadi  minyak yang penting bagi masyarakat Belanda menjelang pertengahan abad ke17. Kawasan Zeeland dan Bogaurden banyak ditanam dengan biji kol. Tanaman ini seterusnya ditanam di Artois, Rhineland, Schleswig dan Holstein pada abad ke-16 hingga abad ke-17

   Masyarakat petani lebih memberi tumpuan kepada tanaman bijiin seperti gandum, barli dan oat sebagai sumber pertanian yang utama di Belanda. Menjelang akhir abad ke-16, petani Belanda menghasilkan gandum antara 1150 kg hingga 1900 kg bagi setiap hektar. Selain itu, tanaman seperti kobis, kekacang dan bunga-bungaan turut diusahakan. Manakala di Amsterdam, tanaman jagung diusahakan. Hasil pertanian telah diekport ke luar negara. Walau bagaimanapun  keadaan ini berubah pada abad ke17, Belanda tidak dapat memenuhi permintaan terhadap bijirin kerana pertambahan bilangan penduduk kesan dari migrasi penduduk di wilayah selatan. Kegagalan ini telah menyebabkan Belanda mengimport bijirin dari Baltik, Perancis dan wilayah Walloon.

   Selain itu, dianggarkan satu perlima daripada masyarakat Belanda terlibat dalam industri perikanan yang menguntungkan Belanda. Belanda terkenal sebagai sebuah negara yang mengusahakan pembinaan kapal yang terbaik di Eropah.  Buktinya , industri pembinaan kapal di Belanda telah mendapat kepercayaan pedagang-pedagang Nngara Eropah pada abad ke-17. Misalnya pada tahun 1630an, sebanyak 2500 kapal Belanda telah digunakan dan jumlah ini merupakan separuh daripada jumlah perkapalan di Eropah.

   Selain pertanian, masyarakat agraria Belanda juga menjalankan penternakan binatang. Penternakan lembu susu telah diusahakan untuk pengeluaran bahan tenusu dan Belanda merupakan  tempat utama penternakan lembu. Misalnya, pengeluaran  hasil tenusu di Holland dan Friesland amat tinggi berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain. Belanda adalah  negara pengeluar hasil tenusu seperti mentega dan keju yang terbesar di dunia. Selain dari lembu susu, lembu daging juga diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di selatan. Malahan, pengeksportan lembu yang telah disembelih dan diproses  berlaku antara tahun 1500 hingga tahun 1660.

   Menjelang abad ke-17, penanaman bunga seperti tulip dan hop juga dijalankan secara meluas. Hal ini berikutan permintaan yang tinggi akibat peningkatan harga tulip antara tahun 1636 hingga 1637. Bunga hop pula ditanam secara meluas di sepanjang Sg Maas dan menjelang abad ke 16, penanaman ini tersebar ke luar Belanda seperti  pantai timur England iaitu di  Kent, Essex dan Surrey. Bunga hop digunakan dalam industri minuman keras sejak abad ke-14 dan terdapat 21 buah kilang minuman keras di Amsterdam dan Rotterdam antara tahun 1600 hingga 1621

Kesimpulan:

   Masyarakat agraria Belanda sememangnya mengamalkan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian namun turut sama menjalankan aktiviti ekonomi lain. Perkembangan ekonomi Belanda membolehkan Belanda muncul sebagai kuasa penjajah pada abad ke19.

  1. Masyarakat  Portugal mempunyai  kebijaksanaan dalam bidang maritim pada abad ke 16 dan 17. Buktikan pernyataan ini.

Pengenalan

Masyarakat maritim merujuk kepada masyarakat yang bergantung kepada aktiviti berasaskan laut. Masyarakat  ini terlibat dalam perdagangan , perikanan, pengumpulan hasil laut, perkapalan, penerokaan, penjelajahan dan aktiviti-aktiviti lain yang mempunyai kaitan dengan kelautan. Kemunculan masyarakat maritim di negara Eropah dapat dikesan sejak abad ke-15. Portugal muncul sebagai kuasa laut yang terunggul menjelang abad ke-16 . Orang Portugis ialah bangsa Eropah terawal mempelopori pelayaran-pelayaran ke seberang laut pada abad ke-15 .

Isi-isi penting

  1. Kebijaksanaan dalam teknologi pelayaran

Masyarakat maritim mempunyai kemahiran dalam teknologi pelayaran.Masyarakat maritim mempunyai kemahiran menentukan arah pelayaran dengan menggunakan kompas magnetik dan astrolabe.Mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dalam ilmu nautical. Putera Henry mendirikan sebuah sekolah pelayaran untukmelatih ahli pelayaran dan jurumudi di Sagres.

  1. Kebijaksanaan membina kapal

Masyarakat maritim juga mempunyai kemahiran dalam pembinaan kapal. Mampu membina kapal yang besar seperti caravel yang boleh belayar di lautan luas. Kemajuan dalam pembinaan kapal menyebabkan muncul industri pembinaan kapal di Portugal

  1. Kebijaksanaan memilih petempatan

Lazimnya masyarakat maritim tinggal di kawasan pesisiran pantai, lembah sungai dan kepulauan. Kedudukan berhampiran dengan laut memudahkan mereka menjalankan aktiviti berkaitan dengan laut

  1. Kebijaksanaan tokoh kepimpinan

Galakan pucuk pimpinan telah menjadikan Portugal kuasaa maritim hebat di Eropah. Putera Henry atau dikenali sebagai Henry the Navigator banyak menghabiskan masanya mempromosikan kegiatan penjelajahan.Beliau menubuhkan Akademi Laut di Sarges dan mengundang ramai ahli pelayaran, pakar matematik, kartografi serta astronomi dari luar untuk memberi tunjuk ajar kepada pelaut Portugal

  1. Kebijaksanaan ilmu pengetahuan/kajibintang

Masyarakat maritim portugal menguasai kemahiran penggunaan kompas dan dapat membantu arah pelayaran. Mereka mencipta peta pelayaran  yang lengkap tentang benua eropah dan laut Mediteranean pada abad ke 15 yang memudahkan pelayaran.Kesannya mereka dapat melalui tempat yang sukar dan membuka petempatan baharu

  1. Kemahiran menguasai laut

Mempunyai keupayaan dan kebolehan dalam menguasai jalan laut. Mengatur langkah untuk mencari dan menguasai laluan laut ke Timur .Mendirikan pangkalan perdagangan di Sri Lanka, Sumatera, Jawa dan Kepulauan Rempah

  1. Semangat inkuiri

Masyarakat maritim memiliki semangat keterbukaan.Sanggup mengharungi lautan luas dan belayar ke negara-negara lain. Menjalin hubungan dan berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Hasilnya berlaku pemindahan idea dan teknologi. Melahirkan cerdik pandai yang dapat menghasilkan ciptaan-ciptaan baru

  1. Kebijaksanaan memilih kegiatan ekonomi berasaskan kelautan

Kegiatan  utama masyarakat maritim ialah aktiviti perdagangan .Masyarakat maritim membekalkan hasil tempatan kepada pedagang-pedagang asing yang singgah di pelabuhan. Mereka juga terlibat dalam membeli dan mengedarkan barang dagangan kepada pedagang-pedagang asing yang singgah di pelabuhan.

Kesimpulan

 Kekayaan dan kemakmuran yang dinikmati oleh Portugal sebagai kuasa maritim adalah berpunca daripada kebijaksanaan bangsa Eropah tersebut. Ini menyebabkan bangsa Eropah yang lain turut serta dalam penerokaan dan pelayaran .Kejayaan dalam maritim ini telah membawa kepada kelahiran masyarakat industri di Eropah kerana kebanjiran masuk bahan mentah dari tanah jajahan  dan peluang pasaran.

>