SOALAN : Bincangkan bentuk perhubungan diplomatik yang diamalkan dari zaman Nabi Muhamad S.A.W hingga zaman Khalifah al-Rasyidin.

Pengenalan :

Pada zaman Nabi Muhamad saw terdapat beberapa perjanjian ataupun jalinan hubungan diplomatik yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W bersama dengan bangsa-bangsa dan negara-negara yang lain. Semua ini membuktikan bahawa Islam mengharuskan hubungan diplomatik tersebut dilakukan untuk kebaikan secara bersama antara dua pihak yang terlibat dan tidak memberi sebarang mudarat dan keburukan.Hubungan diplomatik ini bermula selepas berlakunya perjanjian damai-Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah.

Perjanjian Damai -Perjanjian Hudaibiyah :

– Berlaku pada bulan Zulkaedah pada tahun keenam Hijrah
– Berlaku di satu tempat bernama Hudaibiyah berhampiran Makkah
– Umat Islam berasakan mereka berhak untuk menunaikan ibadah di Masjidil Haram selepas kemenangan Islam ke atas bangsa Quraisy dan penyebaran Islam semakin meluas
– Rasulullah S.A.W telah bermimpi melakukan ibadah umrah di Makkah dan berita itu telah disambut dengan gembira oleh sahabat-sahabat
– Isnin, 1 Zulkaedah tahun ke-6 H, Rasulullah S.A.W memulakan perjalanan ke Makkah bersama 1400 orang Islam
– Umat Islam keluar membawa pedang yang tersimpan dalam sarungnya dengan tujuan mempertahankan diri seandainya diserang sahaja
– Dalam perjalanan, sesampai di Zi Tuwa, rombongan Rasulullah dihalang oleh Khalid bin al-Walid yang ditugaskan oleh Quraisy bersama-sama 200 orang tentera berkuda untuk menyekat Rasulullah saw.
– Namun , Rasulullah dan rombongan berjaya melepaskan diri daripada pasukan Khalid dengan melalui jalan yang tidak digunakan orang untuk menuju ke Makkah
– Sampai di Hudaibiyah, rombongan Rasulullah saw berhenti dan baginda menghantar Uthman b Affan sebagai duta Islam kepada Quraisy
– Uthman ditugaskan menyampai kepada Quraisy di Makkah bahawa tujuan rombongan Rasulullah saw bukan untuk berperang tetapi untuk menunaikan ibadah umrah
– Berita kematian Uthman tersebar luas dan Rasulullah telah mengambil ba’iah daripada rombongannya iaitu sumpah taat setia mereka sanggup berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir kerana membela Uthman.
– Ba’iah ini dinamakan Ba’iah al-Ridwan dan menyebabkan kaum Quraisy telah menghantar Suhail bin Amru untuk membawa mesej perdamaian
– Perbincangan antara Rasulullah S.A.W dan Suhail bin Amru mengasaskan Perjanjian Hudaibiyah berdasarkan ciri-ciri berikut:

a. Rasulullah S.A.W dan umat Islam hendaklah pulang pada tahun itu. Hanya boleh memasuki Makkah pada tahun hadapan dan tinggal selama 3 hari. Mereka dibenarkan membawa senjata untuk mempertahankan diri sahaja;
b. Genjatan senjata antara kedua-dua pihak akan berlangsung selama 10 tahun ;
c. Sesiapapun boleh memilih untuk bersekutu dengan mana-mana pihak sama ada pihak Muhammad S.A.W atau pihak Quraisy. Mana-mana kabilah yang bersekutu dengan salah satu daripada dua pihak maka dikira sebahagian daripada pihak tersebut; dan
d. Sesiapa yang mendatangi Muhammad kerana melarikan diri untuk masuk Islam daripada pihak Quraisy tanpa izin walinya, hendaklah dikembalikan kepada Quraisy. Sesiapa yang mendatangi Quraisy daripada pihak Muhammad( kerana murtad dan sebagainya) tidak akan dikembalikan kepada Muhammad S.A.W.

– Rasulullah menerima perjanjian ini kerana perjanjian tersebut amat menguntungkan umat Islam pada jangka panjang walaupun ada sahabat yang tidak bersetuju.
– Perjanjian ini menjadi pengiktirafan terhadap kekuatan umat Islam.

Surat diplomatik :

– Rasulullah mengutuskan beberapa utusan kepada raja-raja dan pemerintah yang mempunyai kekuasaan di beberapa wilayah.
– Kandungan surat mengajak pemimpin, wakil kepada raja, ketua negara serta kaum dan rakyat lain untuk memeluk agama Islam
– Surat-surat ini ditandatangani dengan cop mohor berupa cincin perak yang berukiran kalimat “Muhammad Rasulullah”.
– Sesetengah mereka menerima seruan Rasulullah S.A.W dan memeluk Islam , namun terdapat beberapa yang lain menunjukkan sikap biadap dan angkuh menerima utusan tersebut.
– Baginda menggunakan segala cara untuk menyampaikan Islam ke merata dunia termasuklah Negara-negara kuasa besar dunia pada masa itu seperti Raja Habsyah, Raja Bahrain, Raja Oman , pemerintah di Damsyik, pemerintah di Yamamah , Raja Iskandariah, Maharaja Rom, Raja Parsi dan beberapa pemerintah dan ketua negara yang lain

a. Surat untuk Raja Habsyah melalui utusan Amru bin Umaiyah :

– Rasulullah S.A.W mengutuskan Amru bin Umaiyah al-Damri sebagai wakil menemui Raja Habsyah
– Raja Habsyah ialah raja beragama Kristian yang bernama Asyam bin al-Jabr atau lebih dikenali sebagai Raja Najasyi. Raja Najasyi memeluk Islam selepas menerima surat RAsulullah saw dan kemudiannya membalas surat baginda

b. Surat untuk Raja Bahrain melalui utusan Ala’ bin Hadrami :

– Al’a bin Hadrami dihantar sebagai wakil membawa surat kepada Raja Bahrain
– Raja Bahrain ketika itu ialah Munzir bin Sawa ( S’adi). Raja Munzir berbesar hati menerima utusan itu dan memeluk Islam

c. Surat untuk Raja Oman melalui Amr’ bin Al-‘As :

– Amr’ bin Al- ‘As diutuskan menemui pemerintah Oman dengan membawa sepucuk surat
– Kedua-dua raja Oman iaitu Jayfar dan Abbed bin Julandi memeluk Islam

d. Surat untuk pemerintah Damsyik dan Gabenor Syam melalui utusan Shuja’ bin Wahb al-Asadi :

– Rasulullah saw mengutuskan Shuja’ bin Wahb al-Asadi dengan membawa surat menemui pemerintah Damsyik dan gabenor Syam yang bernama Munzir bin Harith bi Abi Shamsir al-Ghassani
– Sambutan yang diberi adalah kurang sopan dengan mengugut untuk menyerang Madinah. Namun pujukan Shuja’ berjaya menenangkan mereka dan melayan utusan itu dengan penuh hormat dan sopan. Namun mereka tidak memeluk Islam

e. Surat untuk pemerintah Yamamah melalui utusan Salit bin ‘Amr :

– Salit bin Amr’ dihantar sebagai wakil Rasulullah S.A.W menemui pemerintah Yamamah iaitu Hauzah bin Ali yang beragama Kristian
– Beliau menyatakan persetujuan memeluk Islam namun dengan syarat dijadikan pemerintah sebagai separuh negara Islam. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia beberapa hari setelah beliau menyatakan syaratnya.

f. Surat untuk Raja Iskandariah melalui utusan Batib bin Abi Balta’ah :

– Hatib diutuskan sebagai wakil Rasulullah S.A.W untuk menemui pemerintah Iskandariah (penguasa Mesir) Jarih bin Matthew (dikenali sebagai Raja Muqauqis)
– Beliau berjanji akan mempertimbangkan perkara ini dan menyimpan surat Rasulullah S.A.W dengan penuh hormat. Beliau juga mengirimkan hadiah kepada Rasulullah S.A.W sebagai tanda persahabatan

g. Surat untuk Maharaja Rom melalui utusan Dihiyah al-Kalbi :

– Dihiyah bin Khalifah al-Kalbi dihantar sebagai wakil menemui Maharaja Rom, Heracleus
– Surat daripada Rasulullah menyeru Heracleus memeluk Islam diterima ketika mereka meraikan kemenangan ke atas Parsi
– Walau bagaimanapun Heracleus menerima surat daripada Rasulullah S.A.W dan ingin mengetahui kebenaran kenabian Muhammad S.A.W.
– Abu Sufyan yang sedang mengetuai kafilah perdagangan Quraisy diminta memberi pendapat mengenai keperibadian, kedudukan social dan kejujuran Rasulullah untuk membuktikan kenabian Muhammad S.A.W.
– Heracleus mengakui kenabian Muhammad S.A.W dan melayan wakil baginda dengan penuh hormat tetapi beliau tidak memeluk agama Islam

h. Surat untuk Raja Parsi melalui Abdullah bin Huzaifah :

– Abdullah bin Huzaifah membawa surat menemui Raja Parsi, Khasroe Pervez
– Raja Parsi begitu marah selepas membaca surat tersebut lalu mengoyakkannya kerana berasa terhina kerana menganggap salah seorang ‘rakyatnya’ iaitu Rasulullah S.A.W berani menulis namanya sebelum nama Raja Parsi
– Abdullah kembali ke Madinah dan memaklumkan tindakan Raja Parsi mengoyakkan surat tersebut. Rasulullah menyatakan bahawa kerajaan dan empayar Khasroe Pervez akan musnah sebagaimana beliau mengoyak surat baginda
– Hal ini terbukti apabila Parsi kalah dalam peperangan dalam peperangan dengan Rom. Seterusnya kerajaan Parsi telah jatuh dan hancur sehingga akhirnya ditakluki oleh tentera Islam pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab

i. Surat untuk Amir, pemimpin dan pemerintah yang lain :

– Beberapa pemerintah lain yang diberi hidayah oleh Allah SWT untuk menerima seruan Rasulullah S.A.W ialah :

a. Ferda bin Umro al-Khizai memeluk Islam pada tahun kelima Hijrah. Walau bagaimanapun beliau dibunuh atas arahan daripada pemerintah Rom
b. Thumamah dari Najd yang memeluk Islam pada tahun keenam Hijrah
c. Jabla , pemerintah Ghassan yang memeluk Islam pada tahun ketujuh Hijrah
d. Kedar , pemerintah Daumatul Jandal memeluk Islam pada tahun kesembilan Hijrah
e. Dzul Kala bin Himyar, Raja Himyar memeluk Islam pada tahun kesembilan Hijrah. Diriwayatkan bahawa selepas baginda memeluk Islam, baginda telah membebaskan 18,000 orang hamba dalam satu hari.

– Dengan risalah-risalah ini bermakna Rasulullah saw telah menyampaikan dakwahnya kepada sebahagian besar raja-raja di dunia. Ada di antara mereka yang beriman dan ada sebahagian yang kufur dengannya. Namun mereka yang kufur tetap memikirkan tentang risalah ini setelah kenal dan mengetahui nama ‘Muhammad’ dan agamanya ‘Islam’.

Hubungan diplomatik zaman Khalifah al-Rasyidin :

– Pada zaman khulafa’ al-Rasyidin, hubungan negara Islam dengan negara luar khususnya kuasa-kuasa besar dunia adalah agak tegang.
– Khalifah Abu Bakar al-Siddiq berjaya mempertahankan kerajaan Islam di Madinah daripada ancaman kuasa-kuasa tersebut, iaitu kerajaan Parsi di sebelah timur dan kerajaan Rom Timur atau Byzantine di sebelah barat yang kerap kali mengancam kerajaan Islam di Madinah
– Beliau meneruskan perancangan Rasulullah S.A.W yang tergendala kerana kewafatan baginda iaitu menghantar tentera pimpinan Usamah bin Zaid ke Syam untuk melindungi umat Islam daripada ancaman Rom
– Beliau melantik panglima perang , Khalid bin al-Walid untuk mengetuai 40 ribu tentera yang dipecahkan kepada empat batalion tentera seperti yang berikut:

a. Batalion pertama dipimpin oleh Yazid bin Abi Sufian ;
b. Batalion kedua dipimpin oleh Shurahbil bin Hasanah;
c. Batalion ketiga dipimpin oleh Abu Ubaidah al-Jarrah ; dan
d. Battalion keempat dipimpin oleh Amru bin al-As

– Khalid berjaya memimpin angkatan tersebut dalam peperangan Ajnadin pada tahun 13 Hijrah (634M) menewaskan tentera Byzantine dan menguasai kawasan Timur dan Utara Palestin
– Siasah hubungan luar pada zaman Khalifah Abu Bakar diteruskan oleh khalifah-khalifah selepas beliau.
– Kerajaan Islam Madinah terus menyebarkan sayap perhubungan dengan negara luar sama ada secara diplomatic atau penguasaan ke atas negara-negara yang enggan menjalinkan kerjasama
– Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, empayar Islam berkembang dengan pesat. Beliau menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada empayar Parsi sekaligus menamatkan hayat Empayar Parsi. Beliau juga menawan Mesir, Palestin, Syam, Afrika Utara dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur)
– Kota Baitulmuqqadis telah berjaya ditakluki tentera Islam pada 637 M
– Pada zaman Khalifah Uthman, wilayah Islam juga telah diperluaskan lagi hingga ke Afghanistan, Samarkand, Cyprus dan Tripoli
– Pada zaman Khalifah Ali, hubungan diplomatik tidak dapat diperluaskan kerana sibuk dengan pergolakan dalaman.

Kesimpulan :

– Hubungan diplomatik dari zaman Rasulullah S.A.W hingga ke zaman Khulafa al-Rasyidin memperlihatkan usaha penyebaran Islam secara aman dan perdamaian.
– Walaupun terdapat penentangan daripada kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi namun hubungan diplomatik tetap dijalankan sebagai alternatif terbaik untuk menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Leave a Comment