SOALAN : Huraikan perkembangan masyarakat Islam pada zaman khulafa’ al-Rasyidin.

Pengenalan

            Pada zaman khulafa’ al-Rasyidin terdapat dua golongan masyarakat Islam, iaitu masyarakat di Semenanjung Tanah Arab dan di luar Semenanjung Tanah Arab. Masyarakat Arab di Semenanjung Tanah Arab terdiri daripada orang Arab. Mereka berasal daripada keturunan Semitik yang tinggal di kawasan lembah sungai Tigris dan Furat (di negeri Iraq). Apabila sebahagian daripada mereka berpindah ke Semenanjung Tanah Arab, mereka dikenali sebagai orang Arab.Orang Arab di Semenanjung Tanah Arab terbahagi kepada dua kelompok iaitu Arab Selatan atau Arab Aribah, dan Arab Utara atau Arab Musta’ribah. Sebelum kedatangan Islam, orang Arab Selatan lebih bertamadun tetapi setelah kedatangan Islam, Arab Utara lebih berpengaruh kerana masyarakat Arab Selatan berpindah ke utara setelah keruntuhan Empangan Ma’arib. Orang Arab menjadi masyarakat yang mulia dan bertamadun tinggi setelah mereka menerima Islam sebagai pegangan mereka. Orang bukan Arab dapat menerima Islam sebagai pegangan dan cara hidup berdasarkan kepada keadilan, kebebasan, dan konsep persaudaraan yang dibawa oleh Islam.

Isi-isi

  • Konsep ummah hampir terkubur apabila Rasulullah S.A.W. wafat. Orang Arab mula berpecah-belah dan ada yang menolak salah satu daripada rukun Islam iaitu enggan membayar zakat.
  • Setelah khalifah Abu Bakar dilantik sebagai khalifah, beliau berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan menyatupadukan umat Islam semula.
  • Perkara pertama yang dilakukan beliau ialah memerangi golongan murtad atau lebih dikenali dengan peperangan al-Riddah.
  • Apabila kemenangan berpihak kepada umat Islam, berlaku perkembangan masyarakat Islam yang meluas dalam kalangan masyarakat Arab dan bukan Arab.
  • Semasa pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, beliau menumpukan perhatian kepada perluasan kawasan dan penaklukan ke atas wilayah di utaraSemenanjung Tanah Arab, termasuklah Parsi, Syria, dan Palestin serta Mesir. Komposisi penduduk Islam juga bertambah kerana perluasan kuasa ini.
  • Khalifah Umar al-Khattab telah memberi layanan yang istimewa kepada peneroka-peneroka yang membantu menewaskan musuh-musuh Islam di medan peperangan.
  • Mereka digelar golongan ahl-al Ayyam dan jumlah mereka dianggarkan berjumlah 12000 orang. Mereka diberikan kuasamentadbir ladang-ladang dan tanah-tanah di wilayah Iraq termasuk mengutip cukai-cukai tanaman. Antara pemimpin mereka yang masyhur ialah al-Ashtar dan Malik bin Harith al-Nakhaie.
  • Pada zaman khalifah Uthman bin Affan, kuasa pentadbiran wilayah Iraq diambilalih oleh puak-puak Quraisy dan ketua-ketua kabilah yang menyokong polisi khalifah Uthman.
  • Perkara ini mengakibatkan pemberontakan golongan ahl-al Ayyam. Akibatnya mereka telah disingkirkan dari Kufah, iaitu pusat pemerintahan Islam Iraq dan mereka digelar golongan al-Qura.
  • Islam juga tersebar ke Mesir semasa zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab. Penduduk-penduduk Mesir memeluk agama Islam dan bangsa Arab dari Semenanjung Tanah Arab telah berhijrah ke Mesir. Setelah itu bangsa Arab menjadi penduduk majoriti di Mesir. Bahasa Arab dan agama Islam telah menjadi bahasa dan agama rasmi di Mesir.
  • Bumi Syam diduduki oleh orang Arab dan bukan Arab. Setelah kedatangan Islam ke Syam, penduduk yang dahulunya beragamaYahudi dan Kristian telah memeluk agama Islam. Semasa peperangan Siffin yang berlaku antara khalifah Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah, penduduk-penduduk Syam telah menyokong dan memihak kepada Muawiyah.

Kesimpulan

            Perkembangan masyarakat Islam telah berlaku dengan luas dan pantas melalui kegiatan dakwah dan penaklukan yang membawa kepada perkembangan pemikiran dan kebudayaan. Empayar Islam telah Berjaya dibentuk keluar dari Semenanjung Tanah Arab pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin walaupun menghadapi pelbagai cabaran dari musuh sama ada dari dalam atau luar.Setiap masyarakat yang menerima Islam sebagai pegangan dan cara hidup adalah berdasarkan kebenaran akidah dan kesesuaian syariat yang diajar oleh agama Islam. Walaupun berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan nabi Muhammad S.A.W., umat Islam masih bersatu daripada segi akidah.

Leave a Reply