SOALAN : Huraikan struktur pemerintahan kerajaan Islam Madinah pada zaman pemerintahan Khulafa ’al-Rasyidin

Pengenalan :

Pemerintahan dan pentadbiran negara merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang syumul. Kerajaan Khulafa’ al-Rasyidin terbentuk secara rasmi pada tahun 632 M apabila Abu Bakar al-Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan ini diperintah oleh empat orang sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar al- Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib. Gelaran Khulafa’ al-Rasyidin digunakan kerana mereka meneruskan dasar kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Pemerintahan kerajaan Khulafa’ al-Rasyidin terbahagi kepada dua, iaitu pemerintahan pusat dan pemerintahan wilayah.

Isi-isi Penting :

Pemerintahan Pusat :

• Madinah menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran. Masjid Nabawi menjadi lokasi perbincangan dan penggubalan dasar pemerintahan dan pentadbiran.
• Kuasa tertinggi kerajaan pusat pada zaman Khulafa, al-Rasyidin ialah khalifah yang merupakan individu yang paling berkuasa.
• Walaubagaimana pun, kekuasaannya tidak bersifat mutlak.
• Khalifah memerintah mengikut hukum syariah berpandukan al-Quran dan sunnah. Khalifah boleh membuat ijtihad seandainya ada perkara penting yang perlu diputuskan yang tidak terdapat di dalam al-Quran dan hadis.
• Amalan syura dilaksanakan untuk membincangkan dasar pemerintahan dan pentadbiran negara.
• Sesuatu dasar diputuskan melalui kaedah syura, iaitu keputusan yang dibuat berdasarkan suara majoriti (mewarisi apa yang dipraktikkan pada zaman Nabi Muhammad SAW).
• Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Majlis Syura ditubuhkan secara rasmi dan berfungsi secara formal. Anggotanya dilantik daripada kalangan para sahabat yang berpengalaman dan berperanan sebagai badan penasihat khalifah.
• Selain berperanan sebagai ketua eksekutif dan perundangan, khalifah juga merupakan panglima tertinggi dalam pentadbiran.
• Di peringkat pusat, ibu pejabat baitulmal telah didirikan. Segala sumber pendapatan dan laporan kewangan daripada tanah jajahan akan dihantar melalui gabenor setiap wilayah kepada khalifah setiap tahun.

Pemerintahan Wilayah :

• Pemerintahan negara Islam pada zaman kerajaan Khulafa’ al-Rasyidin dibahagikan kepada beberapa buah wilayah. Sebagai contoh , semasa pemerintahan Khalifar Abu Bakar al-Siddiq negara Islam telah dibahagikan kepada 10 buah wilayah iaitu Makkah, Taif, Yaman, Hadhramaut, Khakwan, Al-Jund, Najran, Zabid, Bahrain dan Jarsh.
• Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pula, negara Islam dibahagikan kepada 8 buah wilayah utama iaitu Madinah, Makkah, Syam, Mesopotamia, Iran, Iraq , Mesir danPalestin.
• Khalifah Umar al-Khattab juga telah membentuk sistem birokrasi yang sistematik bagi memastikan urusan pemerintahan negara berjalan lancar.
• Tiap-tiap wilayah mempunyai ibu negeri atau pusat pentadbiran masing-masing. Setiap wilayah akan diketuai oleh gabenor yang akan dibantu oleh pegawai-pegawai lain seperti setiausaha dan pegawai tertentu di beberapa buah jabatan yang ditubuhkan seperti Setiausaha Tentera, Pegawai Cukai(Sahib al-Kharaj) , Pegawai Polis(Sahib al-Syurtah), Pegawai Perbendaharaan Negara (Sahib Bait al-Mal) dan seorang kadi.
• Individu yang dilantik memegang jawatan berkenaan akan diperjelaskan tentang bidang kuasa mereka agar tidak berlaku kekeliruan kelak.
• Mereka wajib melaporkan jumlah harta sebelum dan setelah selesai menjalankan tanggungjawab.
• Di setiap wilayah, didirikan cawangan baitulmal bagi memudahkan urusan pendapatan dan perbelanjaan negara.

Kesimpulan :

Sistem pemerintahan yang diamalkan pada zaman Khulafa’ al Rasyidin merupakan sistem yang dikemaskini daripada apa yang pernah diamalkan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Struktur pemerintahan menjadi lebih sistematik apabila Khalifah Umar al-Khattab menerajui pemerintahan negara.

Leave a Comment