SOALAN : Bincangkan ciri-ciri dan kegiatan ekonomi masyarakat Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW

Pendahuluan :

• Nabi Muhammad SAW (N/M SAW) diutus oleh Allah SWT kepada umat manusia agar membimbing manusia ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.
• Penghijrahan N/M SAW ke Madinah bukan sahaja membawa kepada pelantikan diri baginda sebagai ketua negara, bahkan juga telah mengubah sistem ekonomi yang dijalankan di Madinah.

Isi-Isi :

(a) Ciri-ciri ekonomi masyarakat Madinah :

• Sumber wahyu merupakan asas kepada penggubalan dan pelaksanaan segala kegiatan ekonomi yang melibatkan umat Islam khasnya dan umat manusia amnya.
• Mengharamkan segala aktiviti atau amalan yang berunsur penindasan seperti riba, penipuan, rasuah dan monopoli sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat jahiliyah dan kaum Yahudi di Madinah.
• Pengagihan kekayaan secara sama rata melalui kewajipan berzakat dan galakan bersedekah.
• Prinsip utama berasaskan keadilan dan mementingkan kebajikan. Umpamanya, golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinah telah dibantu oleh golongan Ansar atas prinsip keikhlasan dan persaudaraan berasaskan akidah yang sama.

(b) Kegiatan ekonomi masyarakat Madinah :

• Pertanian menjadi punca ekonomi yang utama. GolonganMuhajirin dan golongan Ansar menjadikan pertanian serta mengusaha tanah sebagai aktiviti utama sehingga mereka digelar sebagai Ahl-Zar’, iaitu pengusaha pertanian.
• Punca serta bekalan air diberikan perhatian serta diurus secara sistematik. Sistem pengairan dibina, bekalan dan penggunaan air kepada orang ramai dijadikan asas utama kehidupan dan ini telah memainkan peranan penting dalam usaha N/M SAW merealisasikan Madinah sebagai pusat ekonomi.
• N/M SAW yang berpandangan jauh, bijaksana serta mempunyai visi dalam membangunkan Madinah telah menggunakan kelebihan lokasi Madinah yang strategik bagi menjadikan kota tersebut sebagai pusat perdagangan.
• Kedudukan Madinah yang berada di tengah-tengah kesibukan jalan perdagangan antara Yaman danSyam adalah faktor penarik. Tambahan pula, pedagang dari arah Makkah serta Ta’if juga menjadikan jalan ini sebagai jalan utama.
• Kedudukan di tengah-tengah jalan perdagangan ini telah menggugat aktiviti perdagangan kaum Quraisy dari kota Makkah ke Syam mahupun Yaman.

Penutup :

Gabungan perkongsian kepakaran antara golongan Muhajirin yang berkebolehan dalam aktiviti perdagangan dengan golongan Ansar yang arif tentang ilmu pertanian, ditambah dengan perancangan hebat N/M SAW telah berjaya menjadikan Madinah sebagai pusat perekonomian yang penting.

Leave a Comment