SOALAN : Kepelbagaian institusi pendidikan menyebabkan Acheh berperanan sebagai pusat pendidikan Islam pada abad ke-16 Masihi. Bincangkan.

Pendahuluan :

Abad ke-16 Acheh telah mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat politik selepas kejatuhan kerajaan Melaka pada tahun 1511 M. Peranan Acheh pada masa tersebut bukan sahaja terhad sebagai pusat perdagangan malah berperanan sebagai pusat penyebaran dan perkembangan agama Islam. Achaeh memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama Islam yang terulung di Nusantara. Sesuai dengan statusnya sebagai kerajaan Melayu Islam, Acheh berperanan sebagai pusat pendidikan Islam. Terdapat pelbagai institusi pendidikan Islam bagi memudahkan rakyat mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan dan dinaungi oleh pemerintah khususnya Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

Isi-Isi :

Kerajaan Acheh sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan telah menubuhkan institusi pendidikan antaranya meunasah/madrasah, masjid, dayah, rangkang, Jamiah Baiturrahman, Balai Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jama’ah Himpunan Ulama. Madrasah atau muenasah merupakan institusi pendidikan asas atau permulaan yang biasanya didirikan di setiap kampong. Para pelajar diajar membaca al-Quran, membaca dan menulis huruf Arab serta perkara-perkara asas lain dalam Islam. Para pelajar turut mempelajari ilmu fardu ain seperti rukun iman, rukun Islam, fikah, ibadat, dan akhlak.

Anak-anak yang khatam al-Quran diajari kitab agama yang ditulis dalam bahasa Jawa dan Acheh seperti Kitab Perukunan dan Risalah Masailal al- Muhtadin. Sejarah Islam pula diajar dengan cara bercerita. Pelajar yang berjaya melalui institusi Meunasah akan melanjutkan pelajaran ke institusi rangkang yang ada kalanya disebut pondok atau pesantren. Pelajar yang pintar akan belajar dari satu rangkang ke rangkang yang lain disebabkan institusi ini mempunyai tenaga pengajar yang lebih mahir dan berpengetahuan. Mata pelajaran yang diajar ialah Fikah, Ibadat, Tauhid, Tasawuf, Sejarah dan Bahasa Arab.

Masjid juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan juga kegiatan umat Islam. Masjid merupakan pusat pendidikan yang bersangkutan dengan pendidikan menengah pertama. Beberapa buah masjid dinaiktarafkan menjadi pusat pendidikan tinggi seperti Masjid Bait al-Rahman. Terdapat institusi yang dikenali sebagai dayah yang disamakan dengan Sekolah Menengah Atas di Indonesia. Dayah didirikan hamper setiap daerah nanggore (negeri). Terdapat dayah yang berpusat di masjid bersama rangkang tetapi kebanyakkan dayah berdiri sendiri di luar lingkungan masjid dengan menyediakan sebuah balai utama iaitu aula yang sebagai tempat belajar sembahyang.

Pusat Pengajian Tinggi Dayah Cot Kala merupakan pusat pendidikan Islam tinggi pertama di Asia yang telah melahirkan banyak ulama yang menjadi pendakwah di Nusantara. Semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Arab dengan menggunakan kitab-kitab dari Semanjung Tanah Arab. Terdapat dua jenis dayah, iaitu dayah yang bersifat khusus dan dayah yang bersifat umum. Dayah yang bersifat khusus adalah untuk wanita sahaja. Dayah yang khusus mengajar ilmu pertanian, pertukangan dan perniagaan dengan menurut syariat Islam. Antara dayah yang terkenal ialah Dayah Cot Kala dan Dayah Teungku Chik. Mata pelajaran yang diajar di Dayah Teungku Chik ialah Bahasa Arab, Fiqh Jinayat (Hukum Pidana), Fiqh Munakahat (hokum Perkahwinan), Fiqh Duali (Hukum Tatanegara), Sejarah Islam, Sejarah Negara-negara, ilmu Mantik, Taudid/ Filsafat, Tasawuf, Akhlak, Ilmu Falak, Tafsir dan Hadis.
Jamiah/ Universiti Baiturahman berasal dari Masjid Bait al-Rahman yang dinaiktarafkan. Sultan Iskandar muda Mahkota Alam sendiri telah mendirikan Masjid Bait al-Rahman yang digunakan semata-mata sebagai tempat untuk menuntut ilmu. Terdapat 17 dar (fakulti) seperti Fakulti Ilmu Tafsir dan Hadis, Fakulti Ilmu Kedoktoran, Fakulti Ilmu Kimia, Fakulti Pertanian dan Fakulti Peperangan. Tenaga pengajar terdiri daripada ulama atau sarjana dari Acheh dan juga Negara-negara Islam yang lain seperti Arab, Turki, Parsi dan India. Pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Muda Darma Wangsa Perkasa Alam Syah (1607-1636 M) terdapat sebanyak 44 orang guru besar dari Jamiah Baiturrahman.

Sultan Iskandar muda Mahkota Alam telah menubuhkan Lembaga Pelaksana Pendidikan yang terdiri daripada Balai Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jama’ah Himpunan Ulama. Balai setia Hukama merupakan tempat para ulama dan ahli fikir membahaskan perkara-perkara yang menyentuh tentang pendidikan. Balai Jama’ah Himpunan Ulama merupakan kelab perbincangan bagi para sarjana dan ulama bertukar-tukar pandangan, berseminar, membahaskan masalah pendidikan dan sebagai tempat pengembangan ilmu pengetahuan.

Kesimpulan :

Tidak dapat dinafikan lagi dengan wujudnya kepelbagaian institusi pendidikan sama ada diperingkat rendah, menengah dan tinggi telah membolehkan Acheh mendapat gelaran sebagai Serambi Kota Makkah. Situasi ini diperkukuhkan lagi dengan peranan pemerintahnya yang cinta akan ilmu pengetahuan, dasar pendidikan, peranan ulama dan sebagainya. Para pemerintah ini juga menaungi institusi-institusi ini.

Leave a Reply