SOALAN : Bincangkan ciri-ciri sistem pendidikan Islam pada zaman Kerajaan Umayyah dan Abbasiyah.

Pendahuluan :

Pendidikan dalam Islam merupakan suatu proses yang berlaku sepanjang hayat. Tidak dapat dinafikan pendidikan Islam mengalami perkembangan pesat pada zaman kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiyah. Hal ini disebabkan penglibatan dan sikap pemerintah yang mencintai ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama mahupun ilmu-ilmu berkaitan keduniaan.

Isi-Isi :

Ciri-ciri sistem pendidikan Islam pada zaman Kerajaan Umayyah dan Abbasiyah:

i) Sumber utama al-Quran dan hadis :
Sebagaimana zaman awal Islam, sumber utama pendidikan Islam ialah al-Quran yang merupakan suatu sumber yang sah dan hakiki, diikuti sunnah atau hadis. Selain itu, pendidikan Islam juga berpandukan kepada sumber akal dalam bentuk ijtihad dan qais bagi menjelaskan perkara-perkara yang tidak diterangkan secara jelas oleh sumber al-Quran dan sunnah.

ii) Mewujudkan pembangunan yang seimbang antara aspek aqliah dan naqliah :
Sesuai dengan perkembangan semasa, pendidikan Islam pada zaman kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiyah bertujuan untuk mewujudkan pembangunan yang seimbang antara aspek aqliah dan naqliah bagi membolehkan manusia mengenali pencipta-Nya serta mentaati segala perintah dan suruhannya.

iii) Berlangsung secara formal dan tidak formal :
Pendidikan Islam pada kedua-dua kerajaan tersebut berlangsung secara formal dan tidak formal. Pendidikan tidak formal berlaku di masjid, manakala pendidikan formal berlangsung di institusi yang didirikan oleh kerajaan seperti kuttab dan institusi pengajian tinggi serta madrasah seperti Bait al-Hikmah di Baghdad.

iv) Kandungan kurikulum :
Kandungan kurikulum pendidikan yang terdapat pada kedua-dua kerajaan ini merangkumi ilmu naqli dan ilmu aqli. Antara ilmu naqli seperti tafsir, hadis, fikah dan usuluddin, manakala ilmu aqli seperti falsafah, sejarah, bahasa (nahu), matematik dan ilmu alam.

v) Ulama tersohor menjadi tenaga pengajar :
Ciri seterusnya pendidikan Islam pada zaman kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiyah ialah munculnya ulama-ulama tersohor yang menjadi tenaga pengajar di institusi pendidikan seperti Abdullah b. Abbas, Hassan al-Basri dan Wasil b. al-Basri.

vi) Wujudnya kaedah halaqah :
Ciri pendidikan Islam lain yang ketara pada kedua-dua kerajaan ini ialah kewujudan kaedah halaqah. Melalui kaedah ini, murid-murid akan berkumpul membentuk bulatan yang mengelilingi guru, mendengar apa yang disampaikan oleh guru sambil menadah kitab yang menjadi bahan pembelajaran. Pada zaman kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiyah, pendidikan Islam mendapat sokongan padu daripada para pemerintah. Umpamanya, pada zaman kerajaan Umayyah, Khalifah Umar b. Abdul Aziz telah mendirikan banyak masjid dan meneruskan pendidikan percuma di kuttab bagi golongan yang tidak berkemampuan. Pada zaman kerajaan Abbasiyah pula, muncul tokoh- tokoh pemerintah yang mencintai ilmu pengetahuan seperti Khalifah Harun al-Rasyid dan Khalifah al-Makmun.

viii) Wujud aktiviti penterjemahan :
Ciri lain yang ketara pada sistem pendidikan kedua-dua kerajaan ini ialah kewujudan aktiviti penterjemahan karya-karya asing khasnya daripada bahasa Yunani. Di Baghad, aktiviti tersebut giat dilakukan di Bait al-Hikmah manakala di Nisabur, Universiti Nizamiyyah bukan sahaja berperanan sebagai institusi pengajian tinggi bagi umat Islam mendalami ilmu pengetahuan malah juga sebagai pusat penterjemahan.

Kesimpulan :

Sokongan padu pemerintah dan kemunculan ulama menjadikan kerajaan Umayyah dan Abbasiyah cemerlang dalam aspek pendidikan dan menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan.

Leave a Reply