Bincangkan pencapaian dan sumbangan al-Masudi dalam bidang geografi dan pelayaran.  

Pengenalan

            Nama sebenar al-Masudi ialah Abu Hassan ‘Ali bin Husyn bin ‘Ali al-Masudi. Beliau dilahirkan di Baghdad, Iraq pada tahun 895 M. / 283 H dan meninggal dunia di Fustat, Mesir pada tahun 956 M./ 345 H. Al-Masudi mendapat pendidikan secara langsung daripada ibu bapanya. Beliau sangat berminat membuat penyelidikan terhadap bidang sejarah dan adat istiadat serta cara hidup setiap negeri. Rekod terawal menunjukkan al-Masudi memulakan pelayaran ke Parsi pada tahun 914-915 M. Di Parsi, beliau tinggal selama setahun di Istakhar. Dari Baghdad, beliau pergi ke India pada tahun 916 M dan mengunjungi kota Multan dan kota al-Mansurah. Beliau kembali semula ke Parsi setelah mengunjungi Kusman.

Pencapaian al-Masudi

Pencapaian beliau dapat dinilai berdasarkan hasil karya agung yang telah ditulis dan diterbit. Di India, al-Masudi melakukan penyelidikan mengenai flora dan fauna. Lokasi kajian beliau di tepi laut berhampiran Combay. Antara bahan-bahan penyelidikan beliau ialah gajah, burung merak, burung kakak tua, buah oren, kelapa dan lain-lain.di Basrah, beliau menetap untuk beberapa waktu dan menulis karya besarnya yang bertajuk Muruj al-Dhabab. Buku ini menceritakan tentang pengalaman peribadi beliau di pelbagai negara. Buku ini diterbitkan di Paris (1861-1877) dan Kaherah (1303 H) sebanyak 9 jilid. Karya al-Masudi ini dianggap sebagai sebuah ensiklopedia kerana perbincangannya bermula daripada kejadian manusia hingga ke zamannya.

            Al-Masudi kemudiannya menyusun karya keduanya bertajuk Akhbar al-Zaman (cerita-cerita sejarah) yang mengandungi 30 jilid. Beliau kemudiannya mencatatkan pengalaman dalam Muruj al-Dhabab wa Ma’adin al-Jawahir. Buku ini selesai ditulis pada tahun 947 M dan pada tahun 956M, edisi keduanya yang mengandungi 9 jilid diterbitkan di Paris (1861-1877).

            Al-Masudi menulis kitab Akhbar al-Zaman yang dikenali sebagai Annal (catatan sejarah) yang mengandungi 30 jilid mengenai sejarah umum. Karya beliau yang terakhir ialah kitab al-Tanbih wa al-Ishraf. Kitab ini merupakan penambahan dan melengkapkan karya-karya yang terdahulu.

Sumbangan dalam ilmu geografi

Sumbangan al-Masudi dalam ilmu Geografi tidak terbatas dalam satu aspek tetapi merangkumi geografi manusia dan geografi fizikal. KitabMuruj al-Dhahab dianggap sebagai sebuah ensiklopedia geografi. Beliau menggabungkan geografi dengan disiplin sejarah untuk menjadikan kajiannya lebih menarik. Al- Masudi memberikan beberapa gambaran tentang gempa bumi, perairan Laut Mati dan tajuk-tajuk geologi yang lain. Kajian beliau tentang kincir air di Sijistan merupakan penemuan baru orang Islam.

            Sumbangan lain ialah pendapat beliau yang menyokong teori Determinisme Alam Sekitar iaitu satu tanggapan bahawa faktor persekitaran iaitu iklim yang dipengaruhi oleh planet mempunyai pengaruh yang rapat dengan sikap manusia.  Terdapat juga pembahagian dunia kepada dua bahagian. Al-Masudi juga menguasai aspek kosmologi seperti banyaknya air di sesuatu kawasan, tumbuh-tumbuhan semulajadi dan topografi serta berkaitan kualiti alam sekitar.

            Dalam geografi kawasan  pula, karya-karya beliau menerangkan secara terperinci mengenai India iaitu kawasan-kawasan Makran, Sind dan pantai Barat benua ini setanding dengan karya-karya ahli Geografi yang lain seperti Ibn Khurdazbih, Istakhri dan Maqdisi.

Sumbangan dalam ilmu pelayaran

Sumbangan al-Masudi dalam bidang pelayaran adalah hasil daripada pengamatan dan penyelidikan beliau. Al-Masudi telah dapat menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan pelaut dan ahli pelayaran yang keliru tentang nama-nama sungai yang mereka lalui semasa pelayaran. Beliau memberi gambaran yang jelas tentang laluan dari Teluk Parsi ke Laut China. Sungai yang pertama disebut ialah Bahr al-Fars atau Khasybah al-Basrah. Di pantai Larwi, terletak bandar-bandar lama seperti Cemur, Subarh, Thana dan Khambayat. Al-Masudi juga menerangkan keadaan , lokasi serta aktiviti perdagangan bagi masyarakat atau pedagang di India.

            Dalam bukunya, Muruj al-Dhahab, al-Masudi menjelaskan tentang laluan pelayaran bagi bangsa Arab melalui pantai Afrika.

            Al-Masudi juga menyatakan bahawa laut sebenarnya tidak berasingan. Beliau menjelaskan bahawa semua laut termasuk Laut Hindi, Laut China, Laut Parsi, Laut Rom dan Laut Syria merupakan satu kumpulan air besar yang bersambung. Berdasarkan pengalaman dan pengamatannya, al-Masudi menyatakan bahawa para pelaut terdiri daripada pelbagai peringkat dan jenis.

            Al-Masudi juga mengemukakan pendapat dan seterusnya dapat mengatasi kekeliruan pelaut berbangsa Arab yang mengetahui dua laluan untuk pelayaran dari Eropah ke sepanyol iaitu Britain dan Ireland melalui Atlantik dan dari Russia melalui Laut Hitam, Dardeneller dan Laut Mediterranean. Hasil kajian beliau mendapati bahawa Laut Kaspia adalah tidak bersambung dengan Laut Hitam.

            Al-Masudi dalam karyanya Muruj al-Dhahab juga menerangkan tentang keadaan muka bumi dan jarak dari benua Eropah hingga ke negeri China. Pada pandangan beliau, jarak antara dua lokasi ini adalah setengah lingkungan bumi. Dalam karya tersebut, beliau menceritakan berkenaan lima remaja yang sombong yang telah menyeberangi Laut Gelap. Sebahagian mereka selamat dan sebahagian lagi binasa. Cerita ini menggambarkan bahawa umat Islam telah sampai ke Amerika beberapa abad sebelum Colombus.

Penutup

Kesimpulannya, al-Masudi bukan sahaja berbakat dalam bidang pengembaraan dan penerokaan tetapi juga terkenal sebagai sejarawan, ahli ilmu bumi dan fizik yang juga mahir tentang perjalanan, sejarah, geografi. Muzik dan pelbagai pengetahuan yang lain. Masyarakat Arab mengenali beliau sebagai  ‘ Herodotus dan Plinus’kerana membuat revolusi dalam ilmu sejarah.

Leave a Comment