Huraikan  sumbangan pelayaran tokoh Ibn Battutah terhadap perkembangan tamadun manusia pada abad ke-14 M.

Pengenalan

Ibn Battutah dilahirkan di Tanger, Maghribi pada tahun 703 Hijrah bersamaan 1304 Masihi.  Nama sebenar Ibn Battutah ialah Muhammad bin Abdullah  al-Lawati.  Sumbangan terpenting beliau dalam bidang pelayaran ialah dalam penghasilan karya berjudul Tuhfat al-Nazar yang lebih dikenali sebagai al-Rihlah. Sarjana Barat menyifatkan Ibn Battutah sebagai The Prince of Muslim Travelers.

Isi-Isi

Karyanya menjadi sumber sejarah abad pertengahan

        Ibn Battutah adalah seorang tokoh pengembara dan sejarawan Islam yang terkenal pada zaman pertengahan.  Kemasyhurannya bukan sahaja dalam kalangan umat Islam sahaja, tetapi juga dalam kalangan masyarakat antarabangsa.  Hasil pengembaraan dan pelayaran Ibn Battutah telah memberi banyak pendedahan kepada masyarakat dunia merangkumi  pelbagai aspek  seperti  agama, politik, sosial, ekonomi dan kebudyaan masyarakat khususnya di Afrika Barat dan India.  Di India, catatan beliau berfokuskan tentang kepelbagaian kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Hindu seperti adat suttee (adat pembakaran diri balu-balu Hindu) dan lain-lain.  Beliau turut menghuraikan kepentingan Sungai Ganges terhadap masyarakat setempat khususnya untuk upacara penyucian atau pembersihan diri.  Demikian juga berhubung dengan kedudukan dan perkembangan agama Islam di beberapa negara termasuklah Asia Tenggara, China dan lain-lain.

Gambaran tentang negara Islam

Ibn Battutah juga banyak mencatatkan tentang sejarah negara India sewaktu pemerintahan Muhammad Tughliq (Kesultanan Delhi), Anatolia, Afrika Timur dan Barat serta Maldives.  Selain itu, Ibn Battutah juga menulis catatan tentang kota-kota terkenal seperti Iskandariah, Damsyik, Makkah, Konstantinople, Syiraz dan Sifahan.  Belaiu juga tidak ketinggalan mencatatkan sejarah perkembangan tempat-tempat yang dilawati di Makkah seperti Masjidil Haram, Kaabah serta makam-makam para imam  pelbagai mazhab dan para syuhada.

Kepentingan karya al-Rihlah

Rekod pengembaraan  Ibn Battutah dikenali  sebagai kitab Tuhfat al-Nazar.  Bagaimanapun, kitab ini lebih dikenali sebagai Rihlah Ibn Battutah. Karya ini mendapat  perhatian para sarjana sejarah di seluruh dunia.  Karya ini juga kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa asing termasuk bahasa Inggeris, Perancis, Belanda dan Jerman dan lain-lain.  Proses peterjemahan karya ini dalam bahasa Inggeris diusahakan oleh Profesor H. A. R. Gibb dikenali sebagai  The Travels of Ibn Battutah.

Ransangan kepada pelayar lain

        Sumbangan Ibn Battutah dalam bidang pelayaran telah menjadi pendorong kepada para pelayar Islam yang lain untuk mengikut jejak langkahnya.  Hasilnya telah membawa kepada kemunculan beberapa orang tokoh lain seperti Ibn Hawqal dan Sulayman al-Mahri.  Ibn Hawqal telah memulakan pelayaran ke Afrika Utara, Sepanyol, selatan Sahara, Negara-negara Arab, Armenia, Azerbaijan dan Sicily dari tahun 947 hingga 973 Masihi.

Bidang geografi

Sumbangan pelayaran Ibn Battutah turut meningkatkan pengetahuan dalam bidang geografi.  Beliau gemar mencatatkan keadaan geografi sesebuah Negara yang dilawati.  Antaran catatan beliau yang penting keadaan iklim khatulistiwa tidak sepanas iklim di Afrika Utara.  Catatan beliau ini dapat mempengaruhi pemilihan sesebuah pangkalan persinggahan dan perdagangan yang sesuai dan strategik kepada para saudagar kemudiannya.

Bidang sejarah dan persejarahan

        Ibn Battutah turut menulis kisah persejarahan sesebuah negara  apabila berjaya menemui ramai pemerintah, wazir dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.  Bagi mendapatkan kesahihan dan ketepatan fakta, hasil catatan beliau turut disokong oleh sumber-sumber lain yang berkaitan.  Di Kota Konstantinople, beliau mencatatkan keindahan kota tersebut yang dilengkapi dengan pasar atau gudang membeli-belah, jalan raya yang dibina daripada batu dan kewujudan sebuah gereja besar St Sophies di tengah-tengah kota berkenaan.  Sementara Pasai di Sumatera pula digambarkan sebagai kawasan yang subur yang dipenuhi dengan pokok kelapa, cengkih dan gaharu.

Kesimpulan

Kejayaan pelayaran Ibn Battutah selama 28 tahun merentasi sejauh 120 000 km dalam tempoh antara tahun 1325 – 1353 M telah meletakkan beliau setaraf dengan ahli pelayaran terkenal dunia iaitu Marco Polo.  Beliau juga sering kali dijadikan sumber rujukan sejarah dalam pelbagai bidang termasuk pelayaran, keagamaan, budaya, kesenian dan lain-lain.

Leave a Reply