Huraikan ciri ketara yang terdapat dalam seni bina di Andalus pada abad ke – 13M

Pendahuluan

            Abad ke – 13 M menyaksikan kemunculan kerajaan Nasriyyah atau Bani al-Ahmar sebagai kerajaan Islam yang berakhir muncul di Andalus.  Kerajaan ini diasaskan oleh Muhammad b. Yusuf b. Nasr yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Ahmar.  Meskipun kerajaan ini merupakan kerajaan Islam terakhir di Andalus, namun kerajaan tersebut telah memberikan sumbangan yang membanggakan khususnya berkaitan pembinaan dan perkembangan seni bina.

Isi-Isi

Ciri-ciri ketara yang terdapat dalam seni bina di Andalus pada abad ke – 13M.

i) Kemajuan dan perkembangan seni bina dan seni ukir pada zaman ini bukan sahaja di Granada tetapi di kawasan- kawasan lain yang diduduki oleh orang Islam Sepanyol. Kesenian yang lahir di Granada dikenali sebagai kesenian Granada manakala kesenian di luar Granada dipanggil kesenian Mudejar.

ii) Kesenian atau seni bina yang terdapat di luar Granada telah dilahirkan bersama oleh orang Islam dan bukan Islam pada abad ke-13 dan ke-14 M, contohnya Alcazar di Seville dan Gereja Toledo.

iii) Reka bentuk dan seni bina di Granada melambangkan seni bina dan reka bentuk Islam kerana dihasilkan oleh seniman-seniman Islam, contoh yang paling jelas ialah Istana al-Hamra’.  Reka bentuk istana ini masih mengekalkan reka bentuk zaman keagungan kerajaan Islam di samping adanya ciptaan-ciptaan baharu dalam menghasilkan binaan istana berkenaan.

iv) Istana al-Hamra’ merupakan istana yang dipenuhi dengan hiasan yang berwarna emas dengan reka bentuk yang sangat menarik. Al-Hamra’ dianggap antara bangunan yang terindah di dunia.  Istana ini mengandungi beberapa buah bilik yang berukuran sederhana, dua buah dewan besar serta mempunyai halaman yang dihiasi dengan kolam air pancut dan taman.  Di sekitarnya, terdapat 128 batang tiang bulat yang diperbuat daripada taman.

v) Binaan unik dan menarik yang terdapat di Granada ialah dua buah menara yang tinggi dan berkilau yang dibina di atas Banjaran Sierra Nevada. Kepentingan binaan menara ini ialah dapat melihat keindahan kota Granada dengan taman-taman bunga dan pohon buah-buahan yang subur menghijau.

vi) Binaan lain ialah sebuah masjid kecil yang mempunyai reka bentuk yang dikenali sebagai Masjid al-Mulk yang didirikan oleh Sultan Muhammad II. Di atas pintu masuk masjid berkenaan tertera sepotong tulisan Arab, Azza Maulana al-Sultan Abdillah   dan di bawah perkataan tersebut terdapat sebuah syair yang menyentuh agama Islam.

vii) Pada bahagian mihrab masjid berkenaan terdapat hiasan yang diperbuat daripada emas dengan bertatahkan permata zamrud dan yaqut.  Permukaan dinding masjid berkenaan pula dipenuhi dengan hiasan ukiran yang berselang-seli dengan ayat-ayat yang menggunakan tulisan Arab seperti al- Mulku li’lLah

viii) Suatu ciri yang nyata dalam aspek seni bina pada zaman ini ialah terdapatnya ruangan yang berbeza dalam sesebuah bangunan.  Umpamanya, Istana al-Hamra’ mempunyai ruangan untuk duta, ruang persalinan permaisuri dan ruangan persiraman diraja yang menjanjikan kelebihan dan keterasingan yang tersendiri daripada segi keindahannya.

Kesimpulan

Kemampuan kerajaan Nasriyyah pada abad ke-13 membina bangunan-bangunan yang mempunyai nilai kesenian yang unik, iaitu gabungan antara seni Islam dengan seni-seni tempatan asing menggambarkan ketamadunan Islam tetap terserlah walaupun kerajaan Islam di Andalus pada abad tersebut berada pada era kemerosotan.

Leave a Comment